KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun enggan mengulas mengenai siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang dikaitkan dengan rasuah.
Beliau enggan memberikan komen tersebut kerana mahu pihak SPRM menjalankan siasatan tanpa sebarang gangguan atau campur tangan daripada mana-mana pihak.
"Saya fikir eloklah kita jangan kacau SPRM dalam proses siasatan. Kita tidak mahu komen seolah-olah kita campur tangan dalam siasatan dan kerja mereka.
"Jadi saya tidak komen, biarkan mereka lakukan kerja mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina Affin Bank di sini pada malam Selasa.
**media[2977539]**
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan seramai 18 ADUN Sabah telah dirakam keterangan susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan yang disebarkan di sebuah portal berita sebelum ini.
Masidi sebelum ini antara ADUN yang secara sukarela memberi keterangan kepada pihak SPRM susulan video yang dimuat naik portal tersebut turut mengaitkan dirinya.
Sebelum itu, mengulas mengenai program yang dihadirinya, Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah menyatakan kebimbangannya terhadap keadaan ekonomi dunia seperti yang diakui pakar ekonomi dari bank tersebut.
"Kerana tahun ini adalah permulaan Presiden Trump bagi kali kedua dan kita tidak tahu dasar beliau dapat mempengaruhi kedudukan ekonomi dunia.
"Yang selalu kita khuatir adalah beliau telah menyatakan sebelum ini bahawa beliau akan mengenakan cukai yang tinggi kepada barangan daripada China.
"Jadi implikasi kepada Malaysia ialah China banyak membeli bahan-bahan mentah daripada Malaysia dan kita khuatir kalau ekonomi mereka terjejas akibat daripada kenaikan tarif atau cukai masuk Amerika Syarikat (AS).
"Ini yang kita khuatir ini mungkin menjejaskan permintaan barangan mentah daripada Malaysia termasuk Sabah," katanya.